Surat Terbuka Berkenaan Isu Akses Pengangkutan Awam Kajang ke Putrajaya
KEMASKINI 20 MAC 2023. Dimanakah akses pengangkutan awam dari Kajang, Bangi ke Putrajaya? Dulu ada laluan bas dari MPKj tetapi sekarang sudah tiada.
Kepada:
Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD)
Anthony Loke
Prasarana Malaysia Berhad (rapidKL)
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum dan selamat sejahtera.
Pertama sekali saya ingin merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada pihak Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) bersama dengan Prasarana Malaysia Berhad (rapidKL) sebagai operator kerana mereka mengumumkan bahawa pembinaan MRT Laluan Putrajaya Fasa 2 dari stesen Kampung Batu sehingga stesen Putrajaya Sentral telah siap dan telah dibuka sepenuhnya kepada orang ramai bermula 16 Mac 2023.
Kini MRT Corp mempunyai dua laluan MRT yang telah dioperasi iaitu MRT Laluan Kajang (Kwasa Damansara - Kajang) yang dibuka sepenuhnya pada Julai 2017 dan MRT Laluan Putrajaya (Kwasa Damansara – Putrajaya). Kedua-dua stesen akhir untuk laluan MRT tersebut berada di selatan Lembah Klang, iaitu stesen Kajang untuk MRT Laluan Kajang dan stesen Putrajaya Sentral untuk MRT Laluan Putrajaya. Meskipun jarak antara stesen Kajang dan stesen Putrajaya Sentral tidak begitu jauh iaitu dalam lingkungan jarak 20km, namun perhubungan antara Kajang dan Putrajaya melalui pengangkutan awam masih tiada sehingga kini, walaupun MRT Laluan Putrajaya Fasa 2 telah dibuka.

Pada tahun 2019, Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) telah memperkenalkan laluan bas Smart Selangor kod KJ04 yang boleh menghubungkan antara Bandar Kajang dan Putrajaya melalui Bandar Baru Bangi. Tujuan asal pelancaran laluan bas tersebut adalah untuk memberi kemudahan pengangkutan awam dengan tambang percuma kepada warga Kajang dan Bangi yang bekerja di Putrajaya.
Namun begitu, laluan bas tersebut telah dipinda bermula pada tahun 2022 oleh MPKj dengan memendekkan laluan dari Kajang-Putrajaya kepada Kajang-Bandar Baru Bangi. Pemindaan laluan tersebut telah dilakukan kerana bilangan penumpang yang menaiki bas ini dikalangan warga Bangi dan Putrajaya adalah rendah (antara faktor mempengaruhi adalah implementasi Scan To Ride melalui aplikasi CEPat) serta Kerajaan Negeri Selangor perlu mengeluarkan peruntukkan kos yang tinggi bagi mengoperasikan laluan bas teersebut ke Putrajaya. Ini telah menyebabkan akses pengangkutan awam ke Putrajaya dari Kajang kembali terputus sehingga sekarang. Mungkin pemindaan laluan bas tersebut ada kaitan dengan kelulusan projek lebuhraya Bangi-Putrajaya (BPE) yang hanya menkayakan kroni.
Saya sebagai penjawat awam yang duduk di Kajang amat terkesan dengan perubahan laluan bas tersebut. Mereka yang bekerja di Putrajaya tetapi duduk di Kajang atau Bangi perlu menempah e-Hailing atau Teksi dari tempat kediaman di Kajang atau Bangi untuk ke Putrajaya, dengan tambang e-Hailing boleh mencecah RM30 sehala pada waktu puncak. Jika orang Kajang atau Bangi ingin terus berjimat duit dengan menaiki pengangkutan awam ke Putrajaya, mereka perlu menaiki tren KTM Komuter dari stesen Kajang ke stesen Bandar Tasik Selatan, seterusnya menaiki tren KLIA Transit dari stesen Bandar Tasik Selatan ke Putrajaya Sentral dan menaiki bas Nadiputra untuk ke tempat kerja. Kalau mereka tidak mampu menaiki KLIA Transit (tambang dari stesen Bandar Tasik Selatan ke Putrajaya Sentral adalah RM8.00 sehala), mereka boleh juga naik KTM Komuter dan turun di stesen Serdang, seterusnya melintas jejantas dan menunggu bas KR Travel & Tours laluan T 523 untuk ke Putrajaya melalui IOI City Mall, tetapi cara tersebut mungkin mengambil masa yang agak lama kerana kekerapan bas tersebut sangat lemah iaitu sejam setiap perjalanan.
Bermula 16 Mac 2023, orang Kajang yang bekerja di Putrajaya boleh menaiki tren MRT Laluan Kajang dari stesen Kajang ke stesen Tun Razak Exchange, seterusnya menukar tren MRT Laluan Putrajaya dari stesen Tun Razak Exchange ke Putrajaya Sentral dan menaiki bas Nadiputra untuk ke tempat kerja. Walau bagaimanapun, cara menaiki tren dari Kajang untuk ke Putrajaya tersebut mungkin akan mengambil masa yang agak lama untuk sampai ke Putrajaya kerana seseorang perlu melalui destinasi pertukaran stesen yang jauh, misalnya jika menaiki MRT Kajang-MRT Tun Razak Exchange-MRT Putrajaya Sentral masa perjalanan akan menjadi 80 minit, berbanding 20 minit jika memandu kereta dari Kajang ke Putrajaya. Malah, tambang yang dikenakan juga lebih tinggi berbanding tambang perjalanan jika turun di stesen MRT dalam Kuala Lumpur, iaitu Rm7.50 (tambang pembelian token) untuk MRT Kajang-MRT Tun Razak Exchange-MRT Putrajaya Sentral. Oleh itu, solusi yang saya kemukan kepada pihak Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dibawah Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) ialah merangka sebuah laluan bas henti-henti dari Stesen MRT Kajang ke Stesen MRT Putrajaya Sentral.
Cadangan laluan bas ini amat wajar dilakukan kerana ia dapat menghubungkan stesen akhir kedua-dua laluan MRT Corp: stesen Kajang dan stesen Putrajaya Sentral tanpa melalui stesen pertukaran di bandar raya Kuala Lumpur (serta di stesen Serdang atau Bandar Tasik Selatan jika menggunakan KTM Komuter). Selain itu, cadangan laluan bas ini akan memberi kemudahan pengangkutan awam bagi warga Kajang, Bangi dan Putrajaya untuk ke destinasi-destinasi tertentu seperti Kompleks PKNS Bangi, Sungai Ramal, IOI City Mall, Alamanda, Dataran Putra dan Putrajaya Sentral. Malah, cadangan laluan bas dapat boleh menjimatkan masa perjalanan bagi warga Kajang dan Bangi untk ke Putrajaya melalui pengangkutan awam dari 80 minit (kaedah menaiki KTM+ERL atau pertukaran MRT di stesen Tun Razak Exchange) kepada 35 minit sepertimana laluan bas KJ04 (sebelum pindaan laluan oleh MPKj). Cadangan operator bas bagi laluan ini adalah RapidKL, manakala cadangan kekerapan bas ialah 40 hingga 60 minit, dengan anggaran jarak perjalanan 32.5km sehala. Masa operasi adalah 6.00 pagi hingga 10.30 malam.
Dibawah disertakan cadangan laluan bas yang saya kemukakan.
Laluan Pergi: MRT Kajang->Persiaran Bangi->Kompleks PKNS Bangi->Persiaran Jaya->UNITEN->Terminal Bas IOI City Mall->Persiaran Utara->Alamanda->Kompleks F->Persiaran Sultan Sallahuddin Abdul Aziz Shah->Dataran Putra->Persiaran Perdana->Dataran Gemilang->Lebuh Sentosa->Bangunan SPRM->Hospital Putrajaya->Putrajaya Sentral. Jarak 32.9km dan masa perjalanan 40-60 minit bergantung pada trafik semasa.
Laluan Balik: Putrajaya Sentral->Hospital Putrajaya->Jambatan Seri Wawasan->Persiaran Perdana->Persiaran Sultan Sallahuddin Abdul Aziz Shah->Alamanda->Persiaran Utara->Terminal Bas IOI City Mall->Persiaran Jaya->Kompleks PKNS Bangi (Opp)->Persiaran Bangi->MRT Kajang. Jarak 33km dan masa perjalanan 40-60 minit bergantung pada trafik semasa.
Diharap dapat APAD untuk merangka dan meluluskan cadangan laluan bas yang boleh menambahbaikkan sistem pengangkutan awam di selatan Lembah Klang khususnya di kawasan Kajang, Bangi dan Putrajaya selaras dengan visi MPKj: Bandar Baru Bangi Bandar Rendah Karbon 2035. Sekiranya laluan bas ini tidak direalisasikan, maka saya terpaksa mengalah dan bersedia untuk memiliki kenderaan peribadi dengan mengambil lesen memandu yang mahal, membayar downpayment kereta dan ansuran bulanan kereta, serta membayar komitmen berkaitan kereta seperti penyelenggaraan, petrol, tol dan bayaran tapak meletak kereta.
Sekian, terima kasih
Muhammad Yushairie bin Mohd Yusoff